SERDANG, 22 MEI 2024 – Majlis Penghargaan ‘Malaysia Motorcycle Assessment Program (MyMAP) Grand Prix Awards 2024’ buat julung kalinya telah diadakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Etiqa Malaysia bersempena Malaysia Autoshow 2024 di MAEPS Serdang. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Haji Hasbi bin Haji Habibollah dan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah MIROS, Prof. Madya Ts. Dr. Siti Zaharah binti Ishak, serta Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Tn. Azrul Reza bin Aziz.
Melalui majlis tersebut, YB Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Haji Hasbi bin Haji Habibollah telah menyampaikan anugerah pengiktirafan kepada semua pengeluar motosikal yang mengambil bahagian dalam MyMAP dan telah menunjukkan peningkatan dalam aspek keselamatan dan teknologi motosikal. Pengiktirafan turut diberikan kepada model motosikal yang mencapai prestasi cemerlang dalam kategori masing-masing. Penghargaan juga diberikan kepada pengeluar, media, dan individu yang telah menunjukkan teladan dalam usaha meningkatkan keselamatan motosikal.Selaras dengan Visi Automotif Nasional dan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020), MIROS dengan kerjasama MARii telah melaksanakan program penilaian motosikal MyMAP, di mana penarafan bintang akan diberikan kepada motosikal yang dikeluarkan di Malaysia. Program ini telah dilancarkan pada tahun 2021 dan sehingga kini, sejumlah 28 model motosikal daripada tujuh (7) jenama motosikal di Malaysia telah dinilai. Sebanyak 24 model yang dinilai telah mendapat penilaian lima (5) bintang, satu (1) model mendapat penilaian empat (4) bintang dan selebihnya memperoleh penilaian tiga (3) bintang.
Sebanyak 19 anugerah telah dipertandingkan, terbahagi kepada tiga (3) kategori iaitu Exceptional, Exemplary, dan Excellence Award, termasuk dua (2) anugerah utama, iaitu Exceptional Motorcycle Manufacturer 2021-2024 dan Exceptional Motorcycle Model 2021-2024 (Rujuk Lampiran 2). Memetik ucapan YB Timbalan Menteri Pengangkutan, “MyMAP adalah program penarafan menyeluruh untuk motosikal yang pertama di dunia, bagi memperkenalkan motosikal yang lebih selamat di pasaran. Anugerah MyMAP bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta mempamerkan kemajuan yang dicapai oleh pengeluar motosikal dalam mempertingkatkan keselamatan motosikal.”
Terdapat empat (4) kriteria atau komponen utama di bawah program MyMAP, iaitu pematuhan kepada peraturan United Nations Economic Commission for Europe (UNECE), Conformity of Production (COP), teknologi ciri keselamatan, dan juga program sokongan. Salah satu ciri yang ditekankan dalam teknologi ciri keselamatan adalah sistem brek. Program penarafan ini dijalankan secara sukarela dan pada peringkat permulaan, penyertaannya adalah terbuka kepada motosikal berkapasiti 250cc dan ke bawah sahaja. Berdasarkan permintaan, penyertaan untuk motosikal berkapasiti tinggi (> 250 cc) dan semua jenis enjin termasuk motosikal elektrik telah dibuka pada pertengahan 2023.
Majlis ini turut dihadiri oleh wakil-wakil pengeluar motosikal di Malaysia, persatuan motosikal, dan peminat permotoran. Melalui program pengiktirafan dan penghargaan MyMAP ini, adalah diharapkan agar lebih banyak inovasi baharu dalam model-model motosikal akan datang serta program sokongan yang lebih komprehensif untuk pembeli motosikal dapat diadakan. Selain itu, diharapkan pengeluar motosikal akan terus memberikan komitmen yang tinggi dalam menawarkan motosikal yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan kepada penunggang motosikal agar keselamatan mereka di jalan raya dapat dipertingkatkan.
Sekalung penghargaan dan tahniah diucapkan kepada penerima anugerah yang telah berjaya dalam kategori yang dipertandingkan.
Mengenai Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) adalah agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk penjanaan dan penyebaran ilmu keselamatan jalan raya. Hasil kajian MIROS diguna pakai untuk membangunkan dasar dan strategi keselamatan jalan raya di peringkat kebangsaan.
Mengenai Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii)
Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) bertindak untuk memacu perkembangan sistem-sistem pintar melalui aplikasi teknologi digital dengan fokus khusus kepada analisis data raya dan kecerdasan buatan, termasuk ekosistem automotif dan mobiliti terhubung.
Pertanyaan media:
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)
Unit Korporat dan Pengurusan Ilmu
Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS)
Lot 125-135, Jalan TKS 1, Taman Kajang Sentral, 43000 Kajang, SELANGOR
Tel: 03 – 8924 9200 E-mel: inquiry@miros.gov.my
Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii)
Lekshman A/L Subramaniam / lekshman@marii.my / 016 628 8785
Sarah Mamat / sarah@marii.my / 011 2690 0611