MENU

MyMAP FASA KEDUA DAN KETIGA TELAH DIBUKA UNTUK PENYERTAAN

KAJANG, 3 JULAI 2023 – Penyertaan Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) kini dibuka kepada semua pengeluar motosikal kategori 250cc ke atas dan semua jenis kombinasi enjin (ICE, hibrid dan elektrik) di Malaysia bermula 3 Julai 2023.

Sehingga kini, MyMAP telah menganugerahkan penarafan lima bintang kepada sembilan (9) buah model motosikal yang terdiri daripada pelbagai pengeluar motosikal di Malaysia. Bagi merealisasikan visi MyMAP untuk menghasilkan motosikal yang lebih selamat, pembukaan penyertaan kali ini membolehkan model-model motosikal yang premium dan berkuasa tinggi untuk mengetengahkan teknologi keselamatan.

Dalam fasa pertama MyMAP, penyertaan adalah secara sukarela dan terhad kepada motosikal kategori 250cc dan ke bawah sahaja. Fasa kedua MyMAP pula hanya melibatkan motosikal melebihi 250cc manakala fasa ketiga kini melibatkan semua jenis motosikal dengan kombinasi kuasa. Peralihan kepada fasa kedua dan ketiga ini membuka peluang kepada pengeluar-pengeluar motosikal berkuasa besar dan semua jenis enjin di Malaysia untuk menyertai program ini.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik, Ts. Zulhaidi Jawi, “Kami telah menerima banyak permohonan daripada pengeluar motosikal yang berkuasa besar dan hibrid. Oleh itu, penyertaan bagi fasa ketiga dibuka lebih awal daripada jangkaan waktu yang sepatutnya.” Dengan pembukaan fasa ini, diharapkan lebih banyak pengeluar menyertai MyMAP yang secara tidak langsung akan mendorong penembusan teknologi kepada model asas atau mampu milik. Hal ini seiring dengan perkembangan pasaran motosikal di Malaysia yang menawarkan pelbagai ciri-ciri keselamatan tambahan dengan julat harga yang bersesuaian.

MIROS akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi merealisasikan motosikal sebagai satu pilihan mod pengangkutan yang selamat. Maklumat lanjut berkenaan penilaian MyMAP serta senarai motosikal yang telah menerima penarafan boleh dirujuk di laman sesawang MyMAP, https://mymap.com.my/. MIROS mengalu-alukan pengeluar motosikal yang berminat untuk menyertai program penarafan ini untuk mengemukakan permohonan melalui e-mel kepada mymap@miros.gov.my.