MENU

MyMAP MENGANUGERAHKAN PENARAFAN BINTANG KEPADA DUA MODEL MOTOSIKAL JENAMA WMOTO

KAJANG, 16 JULAI 2021 – Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) telah mengumumkan keputusan penilaian bagi dua model motosikal keluaran Mforce Bike Holdings iaitu WMOTO XTREME 150i dan WMOTO RT3. Kedua-dua model motosikal ini telah menunjukkan prestasi keselamatan yang memuaskan dan berjaya mendapat penarafan lima bintang dalam program MyMAP.

Dilancarkan pada bulan Mac yang lepas, MyMAP yang diterajui MIROS dengan kerjasama Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii) bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan motosikal melalui penarafan bintang sepertimana kejayaan rejim ASEAN NCAP untuk kenderaan penumpang. Di Malaysia, kebanyakan motosikal khususnya yang berkapasiti 250cc dan ke bawah tidak mempunyai peralatan keselamatan yang lebih baik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS). Walaupun ABS telah ada sejak tahun 1988 lagi, masih banyak motosikal yang belum dilengkapi dengan teknologi keselamatan ini yang dikira amat penting terutamanya untuk kestabilan ketika membrek. Melihat kepada masalah tersebut, MIROS mula menggesa penggunaan teknologi keselamatan pada motosikal dengan mempromosikan ABS pada peringkat permulaan program ini. Program penarafan bintang ini, seperti program lain seumpamanya, akan bertindak sebagai rujukan pengguna terutamanya dari aspek keselamatan.

Kedua-dua model WMOTO XTREME 150i dan WMOTO RT3 yang mendapat penarafan lima bintang ini dilengkapi ABS pada kedua-dua roda bahagian hadapan dan belakang. Sistem brek ini boleh meningkatkan keberkesanan brek dan kestabilan motosikal, termasuk pada permukaan jalan yang basah. Secara ringkasnya, sistem ABS motosikal membantu dalam mengurangkan risiko kemalangan dan mengelakkan kemalangan pada situasi kecemasan.

Ketua Pengarah MIROS, PPj. Kehormat (PA) Ir. Ts. Dr. Khairil Anwar bin Abu Kassim berkata, kejayaan kedua-dua model dalam memperolehi lima bintang dalam program MyMAP menunjukkan komitmen pengeluar motosikal tempatan untuk menghasilkan motosikal yang lebih selamat dengan kelengkapan teknologi keselamatan seperti ABS. MIROS juga sentiasa berusaha memperjuangkan usaha kerajaan dalam menambahbaik aspek keselamatan motosikal dengan melihat teknologi-teknologi terkini yang boleh diterapkan bagi meningkatkan piawaian keselamatan sesebuah motosikal seterusnya merealisasikan pengaplikasian teknologi terkini secara bersepadu. “Selama ini, motosikal dianggap sebagai jenis kenderaan yang asas dan kurang kelengkapan untuk menangani risiko. Melalui MyMAP, MIROS berusaha untuk mengubah situasi ini dengan mendorong pemasangan teknologi keselamatan sejajar dengan senario tempatan dan ini tidak terhad kepada ABS sahaja”, tambah beliau.

Selaras dengan usaha ini, MIROS mengalu-alukan pengeluar motosikal yang masih belum mengemukakan penyertaan dalam program MyMAP ini untuk mengemukakan permohonan melalui e-mel kepada mymap@miros.gov.my.