MENU

PELANCARAN MYMAP: SYM TERIMA ANUGERAH PENARAFAN BINTANG MOTOSIKAL PERTAMA

KAJANG, 29 MAC 2021 – Model SYM VF3I 185 keluaran Mforce telah dianugerahkan penarafan lima bintang menerusi Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP) oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). Penganugerahan ini sekali gus mengiktiraf kesediaan dan keupayaan motosikal tempatan dalam mendokong usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan motosikal di Malaysia, khususnya untuk kelas motosikal mampu milik.

MyMAP, atau Malaysia Motorcycle Assessment Programme dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP), yang merupakan program penarafan keselamatan kenderaan penumpang. Manakala MyMAP merupakan program penarafan tahap keselamatan bagi motorsikal yang bermula satu bintang sehingga maksimum lima bintang bergantung kepada aspek keselamatan yang dinilai. Sebagai permulaan, program pengiktirafan ini dijalankan secara sukarela dan terhad kepada motosikal berkapasiti 250cc dan ke bawah.
Melihat senario industri pengeluar motosikal masa kini yang masih belum bersedia untuk mengintegrasikan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) pada motosikal berkapasiti rendah, MForce telah mengorak langkah mendahului pengeluar yang lain dalam merealisasikan pengaplikasian teknologi terkini secara bersepadu. Teknologi ABS berfungsi menyelaraskan tekanan brek ketika kecemasan bagi menghalang penguncian roda dan membantu mengekalkan kestabilan motosikal. Di dalam situasi tertentu, ABS juga dapat membantu mengurangkan jarak ketika brek.
Ketua Pengarah MIROS, Ir. Ts. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, program usahama MIROS dan MARii ini merupakan satu titik permulaan dalam meningkatkan dan mengguna pakai teknologi baharu bagi pembangunan motosikal selaras dengan hasrat kerajaan untuk menaik taraf tahap keselamatan motosikal di Malaysia. Penarafan bintang MyMAP adalah hasil penilaian melalui empat kriteria utama iaitu pematuhan terhadap piawaian United Nations Economic Commission for Europe (UNECE), Comformity of Production (COP), teknologi ciri keselamatan dan juga program sokongan keselamatan pengguna. Dalam fasa pertama penilaian ini, penekanan diberikan terhadap motosikal berkapasiti rendah kurang daripada 250 cc, selaku kelas yang mendominasi lebih daripada 90 peratus pasaran.

Malaysia adalah antara negara terawal di rantau ini untuk menggunapakai piawaian dan peraturan keselamatan kenderaan bertaraf dunia, sebagai salah satu negara yang memeterai World Forum for Harmonization of Vehicle Regulations (WP.29). piawaian dan peraturan ini merupakan tonggak penting di bawah Dasar Automotif Nasional yang dirangkum Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan juga Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Dato’ Madani Sahari berkata “Pembuatan kenderaan yang menepati piawaian keselamatan antarabangsa, yang sebelum ini kurang dititikberatkan di dalam motosikal, menunjukkan kesungguhan Malaysia menjadi negara pengeluar motosikal yang meletakkan keselamatan sebagai asas paling penting, sepertimana yang dipraktikkan oleh pengeluar terbesar dunia. Kebolehan syarikat tempatan untuk menghasilkan motosikal bertaraf lima bintang ini, juga mencerminkan keupayaan warga tempatan dalam menghasilkan motosikal dan proses pembuatan yang memerlukan penguasaan teknologi yang lebih maju”, tambahnya lagi.”

Selaras dengan usaha ini, MIROS mengalu-alukan pengeluar motosikal yang masih belum mengemukakan penyertaan dalam program MyMAP ini untuk menghantar permohonan melalui e-mel kepada mymap@miros.gov.my . Program ini adalah sebagai langkah pertama dalam meningkatkan fungsi keselamatan pada motosikal sekali gus dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan melibatkan penunggang motosikal. Selain daripada pengiktirafan bintang, MyMAP
juga dilihat mampu untuk membantu pembeli membuat keputusan yang bijak sebelum melakukan pembelian dengan menitikberatkan aspek keselamatan yang terdapat pada motosikal tersebut.