MENU

PENILAIAN BINTANG UNTUK MOTOSIKAL SEBAGAI PARADIGMA BARU KESELAMATAN MOTOSIKAL – SATU KERJASAMA MIROS-MARii

KAJANG, 11 MAC 2021 – Selaras dengan National Automotive Vision (NAV) dan National Automotive Policy (NAP 2020), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), akan melaksanakan program penilaian motosikal atau lebih dikenali sebagai Malaysia Motorcycle Assessment Program (MyMAP) di mana penarafan bintang diberikan kepada motosikal yang dikeluarkan di Malaysia. Program ini akan dilancarkan pada penghujung Mac 2021 ini, beserta pemakluman kriteria-kriteria penilaian yang akan diambil kira dalam sesi penilaian ini.

MyMAP ini dibentuk berlandaskan pengalaman MIROS dalam membangunkan ASEAN NCAP, yang terlebih dahulu dimulakan oleh Malaysia Vehicle Assessment Program (MyVAP). ASEAN NCAP kini telah menjadi satu program yang dapat meningkatkan kesedaran pengguna dan seterusnya mendorong pasaran kenderaan penumpang yang lebih selamat di rantau ini. Memetik kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Ts. Zulhaidi Mohd Jawi, “Mengambil inspirasi MyVAP dan ASEAN NCAP, kewujudan MyMAP ini dianggap sebagai titik permulaan untuk meningkatkan tahap keselamatan motosikal khususnya melalui kaedah teknikal dan teknologi”. Bagi merealisasikan program ini, beberapa siri perbincangan antara pihak MIROS dan MARii serta pengeluar motosikal telah dilaksanakan dan mendapat sambutan dan maklumbalas yang positif berhubung hasrat untuk melaksanakan program ini. Kerjasama di antara pihak pengeluar dan MIROS adalah sangat penting bagi memastikan produk motosikal yang dihasilkan adalah selamat di jalan raya.

MyMAP akan dinilai melalui empat kriteria atau komponen utama iaitu pematuhan kepada peraturan UNECE, Comformity of Production (COP), teknologi ciri keselamatan dan juga program sokongan pengguna. Salah satu ciri yang ditekankan dalam teknologi ciri keselamatan adalah sistem brek. Program ini melibatkan penarafan bermula satu bintang sehingga maksimum lima bintang bergantung kepada aspek yang dinilai. Sebagai permulaan, program ini akan dijalankan secara sukarela dan terhad kepada motosikal berkapasiti 250cc dan ke bawah. Perincian terhadap kerangka utama akan dimaklumkan semasa pelancaran program ini nanti.

“Bagi merealisasikan program ini, pihak MIROS dan MARii melaksanakan siri rundingan dan penglibatan bersama pengeluar motosikal, mendapatkan maklumbalas yang positif berhubung hasrat MIROS untuk melaksanakan program ini. Kerjasama di antara pihak pengeluar dan MIROS adalah sangat penting bagi memastikan produk motosikal yang dihasilkan adalah selamat di jalan raya.”, kata Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Dato’ Madani Sahari.

Pelancaran MyMAP ini merupakan titik permulaan bagi usaha sama yang terhasil melalui memorandum persefahaman (MoU) di antara MARii dan MIROS pada Januari lalu. MoU tersebut melihat kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama strategik dalam aktiviti R&D, pembangunan kapasiti, pembangunan standard, penerbitan kajian dalam beberapa bidang seperti keselamatan motosikal, kenderaan generasi baharu (Next-Generation Vehicles – NxGV), komponen serta alat ganti kritikal kenderaan dan lain-lain.

Sebagai rujukan, kajian simulasi telah dijalankan ke atas beberapa jenama motosikal yang popular di Malaysia. Hasil kajian simulasi tersebut mendapati beberapa model berjaya mendapat penarafan lima bintang. Perkara ini menunjukkan potensi pengeluar untuk menyediakan pengguna dengan pilihan yang lebih baik dari segi keselamatan seterusnya menghasilkan motosikal yang lebih selamat untuk ditunggang. Justeru itu, semua pengeluar motosikal di Malaysia adalah dijemput untuk menyertai program ini dan memberi sokongan padu terhadap program penarafan ini ke arah penghasilan kenderaan yang lebih selamat bagi pengguna jalan raya.