MENU

12 MOTOSIKAL MODENAS DIANUGERAHKAN PENARAFAN 5 BINTANG MYMAP

KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2023 – Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) telah menerima dua belas (12) penyertaan daripada pihak pengeluar Modenas bagi tujuan penilaian. Kesemua dua belas (12) model yang dicalonkan untuk penyertaan MyMAP kali ini berjaya memperoleh penarafan lima bintang dengan menawarkan teknologi keselamatan yang terkini bagi membantu penunggangan yang lebih selamat.

Majlis penyampaian plak penarafan bintang kepada pihak Modenas telah berlangsung di Eang Chung Motor, Kuala Lumpur. Turut hadir bagi menyempurnakan penganugerahan ini adalah Ir. Ts. Azhar bin Hamzah, Pengarah Pusat Penyelidikan Perubahan Tingkah Laku Pengguna Jalan Raya, MIROS; Puan Nurul Syafinaz Azmi, wakil MARii; En. Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS dan William Ho, Pengarah Eang Chung Motor Sdn Bhd.

Model yang terlibat dalam penafaran ini adalah jenis skuter iaitu model skuter Elegan EX 250, model “touring” Dominar D250, Dominar D400 Adventure, Versys-X 250 dan Versys 650, model “sport cruiser” Vulcan S, model “naked” Z650, Z900 dan Z900 SE, model “sport” Ninja 650, Ninja ZX-25R SE dan Ninja ZX-25RR.

Kesemua dua belas (12) motosikal keluaran Modenas yang mendapat penarafan lima bintang ini dilengkapi dengan cakera brek dan Sistem Brek Anti Kunci (ABS) di bahagian hadapan dan belakang. Penggunaan ABS pada bahagian hadapan dan belakang motosikal dapat memberikan kestabilan kepada motosikal walaupun pada tekanan brek yang tinggi dan permukaan jalan yang licin. Motosikal ini juga menggunakan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED) pada bahagian hadapan dan belakang. Model Z900, Z900 SE, Z650, Ninja 650, Versys 650, Ninja ZX-25R SE dan Ninja ZX-25RR turut dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman (TCS), yang membantu mengawal kestabilan motosikal terutamanya pada jalan selekoh dan licin.

MODENAS bukan sahaja komited dalam memastikan motosikal yang dikeluarkan di pasaran mempunyai ciri keselamatan yang bagus bahkan juga menawarkan latihan advokasi keselamatan jalan raya serta teknik menunggang motosikal secara berhemah dan berkesan menerusi Modenas Safety Riding Academy (MSRA). Pengenalan program sokongan kepada pengguna motosikal, seperti program latihan yang ditawarkan oleh MODENAS ini merupakan salah satu usaha yang wajar untuk dicontohi oleh pengeluar yang lain kerana melalui program tersebut, pembeli dapat memahami serta memahirkan diri dengan teknologi terkini yang terdapat pada motosikal.

MIROS akan terus bekerjasama dengan semua pihak pengeluar motosikal agar objektif MyMAP untuk menjadikan motosikal sebagai satu mod pengangkutan yang selamat dapat direalisasikan. Maklumat lanjut berkenaan penilaian MyMAP serta senarai motosikal yang telah menerima penarafan boleh dirujuk di laman sesawang MyMAP, https://mymap.com.my/.