MENU

MOTOSIKAL HIBRID PERTAMA YANG MENDAPAT PENARAFAN LIMA BINTANG – AVETA VADV 150

KAJANG, 8 MEI 2023 – Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) telah mengumumkan keputusan penilaian bagi skuter Hibrid Pintar yang pertama di Malaysia keluaran Aveta Malaysia, iaitu VADV 150 Hybrid. Model motosikal ini telah menunjukkan prestasi keselamatan yang memuaskan dan berjaya mendapat penarafan lima bintang dalam program MyMAP. Majlis penyampaian plak penarafan bintang kepada pihak Aveta telah berlangsung di MAEPS, Serdang bersempena Malaysia Autoshow 2023. Turut hadir bagi menyempurnakan penyampaian ini adalah Ir. Ts. Azhar bin Hamzah, Penanggung Ketua Pengarah MIROS, YBhg. Datuk Phang Ah Tong, Pengerusi MARii dan Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, serta pengurusan tertinggi Aveta Malaysia Sdn Bhd.

Kejayaan motosikal Aveta model VADV 150 menerima penarafan 5 bintang ini menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam semua aspek penilaian. Ianya merupakan motosikal jenis skuter dengan kapasiti enjin 149 cc bertransmisi automatik. Membawa teknologi hibrid, ia turut mendapat penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Kedua-dua brek hadapan dan belakang dilengkapi Sistem Brek Anti Kunci  (SAF ABS). Sistem brek ini boleh meningkatkan keberkesanan brek dan kestabilan motosikal, termasuk pada permukaan jalan yang basah. Secara ringkasnya, sistem ABS motosikal membantu dalam mengekalkan kestabilan pada situasi kecemasan dan mengurangkan risiko kemalangan. Model ini turut dilengkapi dengan Sistem Lampu Depan Suai (Adaptive Front-lighting System) yang membantu penglihatan penunggang motosikal dalam keadaan gelap dengan melaraskan cahaya lampu depan agar sesuai dengan keadaan menunggang. Sistem penunjuk keadaan tayar pula membantu penunggang memeriksa keadaan tekanan angin tayar pada panel skrin. Tambahan juga, sistem perakam video sedia ada DVR (depan dan belakang) merupakan ciri premium yang merekod video secara berterusan dan boleh diakses menggunakan aplikasi telefon. Ianya juga bertindak sebagai ciri keselamatan dan sekuriti tambahan kepada pemilik kenderaan.

Ini adalah pencapaian yang signifikan bagi Aveta Malaysia Sdn Bhd, dan ia menunjukkan komitmen syarikat tersebut untuk terus menyediakan motosikal yang selamat dan boleh dipercayai kepada para penunggang di Malaysia.

Maklumat lanjut berkenaan penilaian MyMAP serta senarai motosikal yang telah menerima penarafan boleh dirujuk di laman sesawang MyMAP, https://mymap.com.my/. MIROS mengalu-alukan pengeluar motosikal yang berminat untuk menyertai program penarafan ini untuk mengemukakan permohonan melalui e-mel kepada mymap@miros.gov.my.