MENU

YAMAHA YZF-R15M MEMPEROLEH MARKAH TERTINGGI DALAM PROGRAM MyMAP

KAJANG, 14 JULAI 2022 – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menganugerahkan penarafan lima (5) bintang kepada tiga (3) motosikal jenama Yamaha, iaitu model YZF-R15M, XMAX, dan NVX ABS dalam program Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP) seusai proses penarafan dan audit di Kompleks Hong Leong Yamaha pada 15 Jun 2022. Hasil pengauditan yang meliputi proses pemasangan dan pengujian menunjukkan bahawa prestasi keselamatan untuk ketiga-tiga model ini adalah cemerlang pada keempat-empat kriteria utama program MyMAP. Keputusan terperinci untuk setiap model yang dinilai oleh program MyMAP boleh didapati di laman web rasmi MyMAP (mymap.com.my).

Di antara model-model ini, Yahama YZF-R15M telah menjadi model yang berjaya mencatat markah tertinggi di bawah skim pemarkahan MyMAP. Selain memenuhi standard keselamatan kenderaan Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, model YZF-R15M juga dilengkapi dengan ABS dua saluran (dual channel ABS) yang boleh meningkatkan kestabilan dan kecekapan proses pembrekan, khususnya dalam keadaan kecemasan dan di permukaan jalan yang licin. Pengguna yang membeli model baharu ini juga akan ditawarkan keahlian M-CRU oleh Hong Leong Yamaha Sdn. Bhd. Semua ahli M-CRU akan menerima latihan penunggangan selamat secara percuma bagi mempelajari kemahiran penunggangan defensif.

Ketua Pengarah MIROS, Dato’ Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, “Penyertaan sebanyak tiga model Yamaha dalam program penarafan bintang MyMAP menunjukkan bahawa pihak Hong Leong Yamaha sudi memikul tanggungjawab untuk menghasilkan motosikal yang bukan sahaja berkualiti tinggi, malah selamat untuk ditunggang. Pihak MIROS juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak supaya kita boleh mewujudkan satu situasi di mana motosikal boleh menjadi satu pilihan mod pengangkutan yang selamat”.

Selaras dengan usaha ini, MIROS mengalu-alukan pengeluar motosikal untuk menyertai program MyMAP dengan menghantar permohonan melalui e-mel kepada mymap@miros.gov.my